"Renungan Buat Kita Semua~Tingkatkan Ekonomi Islam Demi Pembangunan Ummah"
Abdullah ajak orang Melayu bantu bangsa sendiri bangkitkan kekuatan ummah:
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengajak orang Melayu melaksanakan jihad ekonomi dengan membantu bangsa sendiri dalam usaha membangkitkan kekuatan ummah.Sehubungan itu, Perdana Menteri menyarankan syarikat Melayu
yang sudah berjaya, mewujudkan rangkaian bagi membantu bangsa sendiri seperti dalam bidang pengedaran dan pemasaran.
"Ini bukan buat sesuatu anti bukan Melayu, (tetapi) kita mesti lahirkan kemampuan tolong menolong, nak pastikan Melayu itu berjaya... mesti jadi kaum yang kuat, bukan satu liabiliti.Orang Melayu tak boleh harap pertolongan kerajaan sepanjang masa, tak boleh selamanya berharap kepada tongkat... (mesti)berjalan sendiri dengan kekuatan",katanya pada sidang media selepas melancarkan penubuhan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem)di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.Hadir sama, Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik; Penasihat Gabem,Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo;Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Naib Presiden Umno,
Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Perdana Menteri juga mahu orang Melayu melakukan penghijrahan minda kepada keadaan yang lebih baik dan berdaya maju melalui
perubahan sikap serta perancangan kerja yang tersusun, diikuti pemantauan supaya setiap dilakukan mencapai hasil atau matlamat.Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata, mesti ada satu bentuk penerimaan atau perakuan bahawa jihad membangkitkan ekonomi adalah
misi nasional yang harus digerakkan dengan gandingan tenaga yang kuat.
"Kita nak jadi pejuang bangsa, kita jihad bantu
tingkatkan ekonomi bangsa... kita mahu membawa bangsa ke tahap kedudukan lebih tinggi daripada sekarang.Tiada guna duduk pada peringkat yang sama selama-lamanya. Apa ertinya jika ada dalam negara, bangsa tak maju.Peluang yang ada supaya kita menjadi bangsa yang maju pada 2020 adalah satu peluang untuk kita berikan sebagai hadiah kepada Melayu",katanya dalam ucapan kira-kira satu setengah jam pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 pemimpin, cendekiawan dan ahli korporat Melayu.
Bagi mencapai matlamat itu, katanya, orang Melayu mesti memperkasakan diri dengan menguasai pelbagai bidang ilmu khususnya sains dan teknologi supaya dapat bergerak seiring kemajuan dunia.Katanya, "budaya membaca mesti dipupuk sejak kecil dan diikuti pembacaan buku ilmiah, bukannya membaca buku kartun.Rajin membaca akan menambah ilmu... jika tidak membaca, bangsa akan jadi kaku dan tidak maju.Yang paling saya takut ialah kejumudan... bila fikiran tak aktif, datangnya nyanyuk dan lupa. Malas itu satu penyakit",katanya.
Beliau turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak bersikap khianat dan dengki, seperti membuat santau terhadap Melayu yang sudah berjaya, sebaliknya menanam sikap mahu bersaing dan berjaya.
sumber dipetik dari akhbar tempatan Malaysia